Perwakilan dari Jawatankuasa Keselamatan Negara, Negara Brunei Darussalam telah menyertai delegasi-delegasi dari 100 buah Negara di Mesyuarat 'International Meeting of High-Ranking Officials Responsible for Security Matters' yang berlangsung pada 27 hingga 29 Mei 2025 di National Centre Russia, Moscow, Persekutuan Rusia.
Delegasi NBD ke mesyuarat tahunan tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara.
Mesyuarat dimulakan dengan acara perasmian pada 27 Mei 2025 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Sergei Shoigu diikuti dengan ucapan perasmian oleh Presiden Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Vladimir Putin.
Delegasi NBD juga telah menyertai sidang plenary dan pada hari yang sama, Yang Mulia Timbalan Menteri di JPM turut berpeluang untuk menyampaikan kenyataan pada Mesyuarat 'ASEAN-Russia Consultations of the High-Ranking Representatives for Security Issues' yang dipengerusikan bersama oleh TYT Sergei Shoigu bagi mewakili Persekutuan Rusia dan Tuan Yang Terutama Laksamana Moe Aung bagi mewakili Republik Kesatuan Myanmar.
Pada mesyuarat tersebut, Yang Mulia Timbalan Menteri di JPM telah menyentuh mengenai kepentingan hubungan ASEAN - Rusia dalam mana NBD akan terus mengukuhkan jalinan kerjasama dengan Negara-negara Rakan Dialog ASEAN termasuk Persekutuan Rusia khususnya dalam bidang sekuriti.
Pada hari berikutnya, Yang Mulia Timbalan Menteri di JPM telah menyertai sesi 'roundtable discussion' mengenai isu Keselamatan Maklumat (Information Security) yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama S.V.Verishnin dan Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama D.G. Gribkov.
Delegasi NBD turut berpeluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Menteri, Ministry of Internal Affairs, Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Igor Zubov.
Semasa mesyuarat dua hala tersebut, kedua-dua buah negara telah membincangkan peluang-peluang untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam membasmi gejala dadah haram yang merupakan salah satu bidang keutamaan yang termaktub dalam Memorandum Persefahaman di antara Jawatankuasa Keselamatan Negara, NBD dan Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia yang telah diperbaharui pada bulan April 2024.
Turut hadir di mesyuarat-mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin PPLBI Pengiran Haji Alauddin; Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), JPM, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad dan Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Awang Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail.
Sumber berita Pelita Brunei